| Tembakau memudaratkan
kesihatan manusia dan haiwan apabila mereka terdedah kepada penggunanya.
Kemajuan dalam penyelidikan sains perubatan telah jelas membuktikan hubungan
rapat di antara penggunaan tembakau dengan kejadian kanser, penyakit jantung,
penyakit paru-paru dan berbagai-bagai jenis penyakit lain. Rokok merupakan
penyebab utama kesengsaraan dan kematian yang boleh dielakkan sama sekali
di zaman moden ini. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan
kematian tahunan akibat merokok di seluruh dunia telah bertambah dari 1
juta dalam pertengahan tahun 1960an kepada 3 juta sekarang. Jumlah ini
dianggarkan meningkat lagi kepada 10 juta setahun menjelang tahun 2020.
Bahayanya tidak hanya membabitkan negara-negara Barat sahaja, malah kian
mengancam dan menjadi masalah kesihatan yang paling utama di negara-negara
membangun, termasuk di Malaysia.
Tabiat merokok mengakibatkan 90% daripada
kesemua kes kanser paru-paru, 75% kes kerosakan paru-paru (chronic bronchitis
& emphysema) serta 25% kes jantung di kalangan lelaki berumur di bawah
65 tahun. Beberapa lagi jenis kanser paru-paru dan juga komplikasi dalam
sistem pernafasan kanak-kanak, turut dikaitkan dengan merokok di kalangan
ahli keluarga.
Ibubapa yang merokok bukan sahaja meletakkan
anak-anak mereka pada bahaya penyakit, tetapi juga kemungkinan bagi kecacatan
anggota serta menggugat pertumbuhan fizikal dan minda ahli keluarga mereka
sendiri. Kanak-kanak dari ibubapa yang merokok juga adalah lebih cenderung
mencontohi tabiat buruk ini apabila mereka meningkat dewasa kelak. 'Baik
buruknya kebangkitan tunas baru di antara kita, bergantung rapat dengan
apa yang dibiasakan oleh ayahnya'. Ibubapa bertanggungjawab sepenuhnya
dalam membentuk perlakuan anak-anak mereka. Firman
Allah s.w.t. :
 |
"Wahai orang-orang yang
beriman. Peliharalah diri dan keluarga kamu dari api neraka"
(At-Tahrim : 6) |
 |
"Allah mewariskan ke atas
kamu tentang anak-anak kamu"
(An-Nisa' : 11) |
|
|
|
Hadith Rasullullah
s.a.w. : |
 |
"Tiada seorang ayah yang
memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia"
.(At - Termidzi) |
 |
"Ajarilah anak-anak kamu
dan kelurga kamu kebaikan, dan lengkapkanlah mereka dengan adab" (AbdulRazzak
& Said Mansur) |
Gangguan dan masalah pembiakan serta
kehamilan akibat merokok telah juga jelas terbukti. Racun yang terkandung
di dalam asap rokok yang dihidu oleh seorang ibu mengandung mampu mengakibatkan
keguguran, kelahiran tidak cukup bulan, bayi yang tidak cukup berat badan,
kecacatan janin dan berbagai-bagai komplikasi lain. Ada juga kajian yang
menunjukkan bahawa merokok boleh menyebabkan kemandulan bagi lelaki dan
perempuan.
Setiap batang rokok yang dinyalakan
akan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan
boleh menmbawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan
maut. Di antara kandungan asap termasuklah bahan radioaktif (polonium -201)
dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia),
ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic),
gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi
pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun
yang paling penting adalah tar, nikotin dan karbon monoksida.
Tar mengandungi sekurang-kurangnya
43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan
seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH)
telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.
Nikotin, seperti dadah heroin bertindak
balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi
punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan
dengan gejala gian, tolerens dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding
najis dadah.
Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala
berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat
tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang terjerat dengan
ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu selamanya, kecuali dengan kehendak
Allah jua.
Nikotin turut menjadi punca utama risiko
serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit
jantung adalah berpunca daripada tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung
merupakan penyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang
keempat. Karbon monoksida pula adalah gas yang beracun, biasanya dikeluarkan
oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalan oksigen ke tisu-tisu
hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya
paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.
Manusia seharusnya sedar lalu menjauhkan
diri daripada menggunakan tembakau terutamanya rokok, kerana ianya adalah
buruk, membahayakan dan membinasakan.
Daripada maklumat tentang kemudaratan
asap rokok terhadap kesihatan, maka isu berhubung menghidu asap rokok secara
terpaksa atau secara pasif (passive smoking) semakin ketara dan menjadi
persoalan hak asasi manusia yang semakin hebat diperkatakan di negara-negara
maju. Asap rokok amat mengganggu keselesaan dan menjadi punca utama pencemaran
udara dalaman (indoor air pollution), di kebanyakkan bangunan dan tempat
awam.
Asap yang terhasil daripada puntung
rokok yang sedang menyala (sidestream), bersama-sama asap yang dihembus
keluar oleh si perokok (ehaled smoke) adalah dipanggil environmental
tobacco smoke (ETS). Ianya mengandungi jumlah kandungan racun pada
peratusan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan asap yang disedut terus
dari batang itu (mainstream smoke).
Kajian-kajian saintifik yang dijalankan
oleh berbagai badan penyelidikan terkemuka antarabangsa telah membuktikan
bahawa merokok secara pasif (passive smoke) merupakan penyebab utama kejadian
kanser paru-paru di kalangan orang yang tidak merokok. Bagi wanita bukan
perokok, beliau mempunyai pertambahan risiko sebanyak 30% untuk menghidap
kanser paru-paru dan kelebihan 50% pula untuk diserang penyakit jantung,
jika suaminya merokok.
Menghisap rokok adalah suatu perbuatan
membunuh diri sendiri dan orang lain atau makhluk lain yang sentiasa terdedah
kepada asap yang berpunca daripada perokok itu, sungguhpun proses pembunuhan
ini mengambil masa yang agak lama. Firman
Allah s.w.t. :
"Dan janganlah kamu membunuh diri
kamu, sesungguhnya Allah Maha Penyayang" (An-Nisa'
: 29) Hadith
Rasullulah s.a.w. : "Siapa
yang membunuh diri dengan meminum racun, maka racun itu akan tetap berada
di tangannya dan diminumnya dalam neraka jahanam"
(Abu Hurairah r.a.) |