Adalah dipercayai
Agama Islam sudah ada di Negeri Selangor di awal Kurun Masihi ke 15 lagi.
Selangor sebagai daerah takluk Melaka pada masa itu tentulah telah menerima
Islam ( Agama Rasmi Melaka ) melalui Melaka sendiri.
Dengan melihatkan kedudukan
Selangor yang jauh lebih hampir daripada Melaka dengan Perlak,Samudra,Acheh
dan Pasai maka besar kemungkinan Selangor telah lebih awal lagi menerima
Islam daripada Melaka.
Perkembangan Agama Islam
di Selangor adalah dianggap sama dengan perkembangan Agama Islam di negeri-negeri
Melayu di Selat Melaka yang lain, atau sekurang-kurangnya mendapat pengaruh
dari perkembangannya di negeri-negeri tersebut.
Dengan tidak terdapatnya
lagi keterangan-keterangan mengenai perkara ini maka belumlah dapat sesuatu
penentuan yang tepat mengenai perkembangan Agama Islam di Selangor dalam
Kurun Masihi 15,16 dan 17. Tetapi walau bagaimanapun, dengan adanya perpindahan
dan perhubungan yang dibuat oleh orang-orang Sumatera ke Selangor tidaklah
berapa berbeza dengan negeri-negeri di Selat Melaka yang lain.
Sebagaimana negeri-negeri
Melayu lain, Sultan-Sultan yang memerintah Selangor bukan sahaja dianggap
sebagai Ketua Politik tetapi juga sebagai Ketua Agama Negeri. Segala perkara
yang berhubung dengan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu adalah dalam
kuasa Sultan.
Sebelum Inggeris campur tangan
dalam pemerintahan Selangor tidak ada catitan yang menunjukkan adanya jawatan-jawatan
tertentu yang berhubung dengan Agama Islam. Tetapi dengan memandangkan
adanya jawatan kadi dalam zaman Melaka, maka besar kemungkinan jawatan
kadi itu telah ada di Selangor sejak Sultan Salehuddin lagi, dalam pemerintahan
Sultan Muhammad Sultan Selangor yang ketiga(1826-1857), Sahibul Fadhilah
Tuan Sheikh Abdul Ghani seorang ulama’ dari Bema Sumatera telah datang
ke Selangor. Dalam kunjungannya itu beliau telah mengharamkan memakai mahkota
Leleng yang diperbuat daripada emas yang berasal dari Negeri Bugis.
Dengan itu juga segala barang-barang
kerajaan zaman Almarhum-Almarhum terdahulu daripadanya yang diperbuat daripada
emas telah dipecah-pecahkan. Kenyataan ini menunjukan adanya pengaruh ulama’
dari Sumatera dan kesan ajaran agama Islam di Selangor zaman Sultan Muhammad.
Perkembangan Hal Ehwal Agama
Islam selanjutnya adalah jelas kelihatan setelah Selangor di bawah naungan
Inggeris. Hasil daripada peristiwa rompakan di Jugra pada bulan November
1873 yang telah melibatkan keluarga DiRaja Selangor, maka pada bulan Oktober
1874 Negeri Selangor termasuk di bawah naungan Inggeris.
Pada awal tahun Masihi 1877
maka tertubuhlah “Majlis Mesyuarat Negeri Selangor” (The Selangor State
Council) yang dianjurkan oleh pemerintahan Inggeris. Majlis mesyuarat ini
adalah bertanggungjawab membuat undang-undang dan peraturan pentadbiran
negeri termasuklah yang mengenai Hal Ehwal Agama Islam. Pada 5 September
1879, Majlis ini telah mengisytiharkan bahawa D.Y.M.M Sultan adalah menjadi
Ketua Agama Islam Negeri.
Lima tahun kemudian iaitu
dalam tahun 1884, Majlis ini telah pula mengiktiraf jawatan Kadi dan Imam.
Majlis ini juga telah mengambil keputusan untuk melantik seorang Kadi yang
akan bertugas memutuskan segala perselisihan yang berhubungan dengan hukum-hukum
Agama Islam dan “Adat Istiadat Melayu”.
Majlis ini juga menggesa
semua Imam-Imam supaya menyimpan buku daftar yang teratur mengenai perkahwinan,
penceraian dan perkebumian orang Islam di daerah masing-masing.
|