Iman adalah
kepercayaan atau tasdiq yang kukuh melalui pengucapan lidah dan kepercayaan
dalam hati terhadap Allah, kepercayaan kepada Rasul, kepercayaan kepada
Malaikat, kepercayaan kepada Kitab-kitab, kepercayaan kepada Hari Akhirat
dan kepercayaan kepada Qada' dan Qadar, baik dan buruk daripada Allah s.w.t.
Iman juga disebut sebagai akidah yang
teguh terhadap semua ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang tidak
boleh diubah atau dipisah-pisahkan daripada keyakinan seseorang itu.
Pengertian iman dan akidah seperti
yang disebut di atas adalah berdasarkan kepada kenyataan berikut:
Firman Allah SWT:
Maksudnya:
“ Maka
sesiapa yang tidak percayakan kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka
sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan ( tali agama) yang kukuh
teguh, yang tidak akan terombak (putus). Dan (ingatlah) , Allah maha mendengar
lagi Maha Mengetahui .”
(Al Baqarah : 256)
Sabda Rasullah SAW:
Maksudnya:
“Iman
ialah bahawa engkau beriman dengan Allah, kepada malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya,kepada
Rasul-rasul-Nya, kepada Hari Qiamat dan hendaklah engkau beriman kepda
Qadar yang baik dan buruk.”
(Muslim dari Umar bin Al-Khattab)
Pengertian Iman bolehlah diambil kesimpulan
bahawa:
Tiada dikategorikan
seseorang itu sebagai telah beriman dalam erti kata beriman dengan sebenarnya
jika dia tidak menerima secara bersungguh atau hanya mempercayai sebahagian
dari rukun iman dan menolak sebahagian yang lain. Sesiapa yang menolak
sebahagian atau meragui sebahagian dari rukun Iman bererti dia seolah-olah
menolak keseluruhan rukun iman.
Firman Allah:
Maksudnya:
“Katakanlah
(wahai Muhammad) :” Sesiapa yang memusuhi Jibril, maka sesungguhnya Jibril
itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan
kebenaran Kitab-kitab yang ada dihadapannya (yang diturunkan sebelumnya)
serta menjadi pertunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman.
Sesiapa yang memusuhi Allah (dengan mengingkari segala pertunjuk dan perintah-Nya)
dan memusuhi malaikat-malaikat-Nya serta rasul-rasul-Nya,khasnya malaikat
Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya
Allah adalah musuh bagi orang-orang yang ingkar.”
(Al
Baqarah : 97-98)
Iman dan aqidah
bukan hanya sekadar percaya kepada rukun iman, tetapi iman dan akidah mesti
lahir dalam bentuk amalan dan perbuatan.
Tidak timbul
rasa keagungan, kekuasaan dan kebesaran Allah dalam jiwa seseorang itu
kalau dia tidak mengenali sifat-sifat keagungan dan kebesaran serta kekuasaan
Allah SWT.